Cara Hidup Menurut Panduan Yang Ditunjukkan Oleh Rasulullah SAW

Dikeluarkan oleh At-Tabrani daripada Abu Wail Shaqiq bin Salamah sesungguhnya Umar bin Al-Khattab r.a telah melantik Bashar bin Asim r.a untuk memungut zakat penduduk Hawazin. Bashar telah melewat-lewatkan pemergiannya lalu beliau telah ditemui oleh Umar r.a. Umar r.a telah bertanya kepadanya: “Apakah yang menyebabkan kamu terlambat? Adakah kamu tidak mendengar dan taat kepada arahan kami?” Bashar berkata: “Tidak, melainkan aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Barangsiapa yang menjadi ketua bagi sesuatu urusan ke atas kaum muslimin, maka dia akan datang pada hari kiamat sehingga dia akan berdiri di atas sebuah jambatan neraka. Jika beliau telah melakukan kebaikan, dia akan selamat. Jika telah melakukan kejahatan, jambatan itu runtuh lalu beliau terjatuh ke dalam api neraka tersebut selama tujuh puluh tahun.”

Abu Zar r.a. telah berkata kepada Umar bin Al-Khattab r.a.:Adakah kamu mendengar sesuatu daripada Rasulullah s.a.w.?” Umar r.a. pun menjawab: “Tidak.” Abu Zar r.a. berkata: “ Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Barangsiapa yang bertanggungjawab ke atas urusan kaum muslimin, beliau akan datang pada hari kiamat sehingga dia akan berdiri di atas sebuah jambatan neraka. Jika beliau melakukan kebaikan dalam pentadbirannya, dia akan selamat. Jika sebaliknya, jambatan itu akan roboh dan beliau akan terhumban ke dalam neraka itu selama tujuh puluh tahun dan neraka itu amat gelap dan hitam.” Maka hadis yang mana satukah lebih menggetarkan hatimu?” Umar r.a. menjawab: “Kedua-duanya. Oleh itu adakah sesiapa yang mahu mengambil jawatan khalifah ini?’ Abu Zar r.a. pun berkata: “Hanya orang yang hidungnya telah terpotong dan pipinya telah dilekapkan di atas tanah yang akan mengambil alih jawatan ini. Adapun aku tidak mengetahui melainkan jawatan khalifah ini baik untuk kamu. Kerana jika kamu memberikan jawatan khalifah ini kepada seseorang yang tidak berlaku adil, kamu juga akan berkongsi dosa dengannya.”

Sebagaimana dalam At-Targhib. Dikeluarkan juga oleh Abdul Razak, Abu Nu’aim, Abu Sa’ed An- Naqoshi, Al-Baghowi dan Ad-DarulQutni dari galur Sawid sebagaimana dalam Al-Kanz. Dikeluarkan oleh Ibnu Abi Syaibah dan Ibnu Mundah dari selain galur sawid sebagaimana dalam Al-Isobah.

Sumber: As-Sheikh Muhammad Yusof Al-Kandahlawi. 1994. Hayatus Sahabah (Kehidupan Para Sahabat Rasulullah S.A.W jilid 4). Kuala Lumpur : Darul Nu’man

%d bloggers like this: