Cara Hidup Menurut Panduan Yang Ditunjukkan Oleh Rasulullah SAW

Telah dikeluarkan oleh Ibnu Asakir daripada Asim katanya: Abu Bakar ra telah mengumpulkan orang ramai sewaktu beliau sedang sakit. Beliau telah menyuruh orang membawanya ke mimbar. Itulah khutbah yang terakhir yang telah dilakukannya. Beliau telah memuji Allah SWT dan berkata:

Wahai kaum muslimin! Janganlah kamu sibuk dengan urusan dunia dan janganlah terfitnah olehnya lantaran kecantikan zahirnya. Utamakanlah kehidupan akhirat dari kehidupan dunia dan sentiasalah cintakan kehidupan akhirat di dalam dirinya. Maka, yang lazim berlaku, kecintaan kepada salah satu dari kedua-duanya akan menyebabkan kamu merasa benci kepada salah satu yang lain. Berkaitan dengan persoalan khalifah, ia mengawal segala urusan kita di mana zaman yang terkemudian tidak akan menjadi baik melainkan dengan perantaraan apa yang memperbaiki zaman yang awal.

Jawatan khalifah ini tidak akan dipikul oleh seseorang pun melainkan oleh;
1. orang yang cekap dan mampu mengawal dirinya sendiri.
2. orang yang lebih afdal dari segi kekuatan.
3. Beliau adalah seorang yang tegas dalam situasi tegang.
4. orang yang lemah lembut dalam hal yang rumit.
5. Beliau adalah orang yang paling mengetahui akan pendapat orang-orang yang memberikan pendapat dan memberikan penghargaan sepenuhnya.
6. beliau tidak menyibukkan dirinya dengan perkara yang tidak memberi manfaat kepada dirinya.
7. Beliau tidak kesal atau berduka cita jika terlepas sesuatu yang di luar dari kemampuannya.
8. Beliau tidak merasa malu untuk belajar.
9. Beliau tidak bingung di dalam masa-masa tegang dan cemas.
10. Beliau amat memelihara harta rakyat dan tidak menyalah gunakan harta (kepunyaan negara) dengan suatu perbuatan khianat dengan melampaui batasan.
11. Beliau seorang yang taat dan berjaga-jaga dari kemurkaan Allah SWT.
Beliau adalah Umar bin Al-Khattab.

Kemudian Abu Bakar ra pun turun dari mimbar.
(Sebagaimana dalam Kanzul Ummal.)

Dalam riwayat Abdul Razak daripada Umar ra katanya :

Tidak dapat tidak jawatan ini hendaklah disandang oleh lelaki yang mempunyai empat sifat iaitu;
1. Dia mestilah bertindak dengan sopan dan lemah lembut tanpa menunjukkan sifat lemah.
2. Tegas tanpa bersikap bongkak ataupun keras kepala.
3. Sentiasa berjimat cermat dengan harta tanpa sifat bakhil
4. Seorang yang pemurah tanpa bersikap boros.

Jika salah satu sifat ini tidak wujud maka ketiga-tiga sifat yang lain akan rosak.

Juga daripada Abdul Razak dan Ibnu Asakir dan selain daripada keduanya daripada Umar ra katanya:

Tiada seorang pun yang mampu melaksanakan tugas khalifah melainkan;
1. seorang yang tidak terlalu bertolak ansur (mengenai hukum Allah).
2. tidak mempamirkan sikap merendah diri pada yang bukan tempatnya.
3. tidak mengikut sifat tamaknya.
4. Seorang yang amat teliti dan berjaga-jaga tentang kemuliaan dirinya sendiri.
5. tidak menyembunyikan perkara yang hak di sebalik kemarahannya.

(Sebagaimana dalam Kanzul Ummal.)

Sumber:
As-Sheikh Muhammad Yusof Al-Kandahlawi. 1994. Hayatus Sahabah (kehidupan para sahabat Rasulullah SAW jilid 4). Kuala Lumpur. Darul Nu’man

%d bloggers like this: