Cara Hidup Menurut Panduan Yang Ditunjukkan Oleh Rasulullah SAW

1. Dikeluarkan oleh Ibnu Abdul Hakam daripada Abu Soleh Al-Ghifari katanya: “Amru bin Al-‘As telah menulis sepucuk surat kepada Umar bin Al-Khattab r.a.: “Sesungguhnya kami telah menyiapkan rancangan untuk membina sebuah rumah untuk kamu berhampiran dengan masjid jamek.” Kemudian Umar r.a. menulis jawapan surat Amru bin Al-‘As. Beliau menulis: “Sesungguhnya aku adalah seorang lelaki biasa dari tanah Hijaz di mana rumahnya mestilah berada di tengah-tengah kota.” Maka Umar r.a. memerintahkannya agar menjadikan rumah tersebut sebagai pasar untuk kaum muslimin.

(Sebagaimana dalam Al-Kanz. )

2. Dikeluarkan oleh Ibnu Abdul Al-Hakam daripada Abu Tamim Al-Jaishani r.a. katanya: “Umar bin Al-Khattab telah menulis sepucuk surat kepada Amru bin Al-‘As:

Amma Ba’du! Telah sampai ke pengetahuanku bahawa kamu telah membuat mimbar yang lebih tinggi daripada tengkuk kaum muslimin. Apakah yang menghalang kamu supaya berkhutbah dalam keadaan berdiri dan kaum muslimin berada di bawahmu. Aku menegaskan kepadamu agar merobohkannya.

(Sebagaimana dalam Al-Kanz. )

3. Dikeluarkan oleh Muslim daripada Abu Usman r.a. katanya: “Umar r.a. telah menulis surat kepada kami dan kami berada di AZERBAIJAN:

Ya Utbah bin Farqad! Sesungguhnya harta ini bukanlah dihasilkan daripada usaha kamu, bapa kamu mahupun ibu kamu. Kenyangkanlah kelaparan kaum muslimin di khemah-khemah mereka dengan makanan yang boleh mengenyangkan mereka dari perkhemahan kamu. Hendaklah kamu menghindari dari kehidupan bermewah-mewah dan meniru-niru cara kehidupan ahli syirik dan memakai pakaian sutera.”

(Sebagaimana dalam At-Targhib. )

4. Dikeluarkan oleh Ibnu Asakir daripada Urwah bin Royam sesungguhnya Umar bin Al-Khattab r.a. sentiasa ingin mengetahui akan hal ehwal kaum muslimin. Pada suatu hari penduduk HAMAS telah datang menemuinya. Beliau pun bertanya kepada mereka: “Bagaimanakah keadaan amir (pemimpin) kamu?” Mereka menjawab: “Beliau seorang yang baik melainkan beliau telah membina tingkat atas di dalam rumahnya di mana beliau tinggal di sana.”

Kemudian Umar r.a. pun menulis sepucuk surat kepadanya melalui seorang penghantar surat dan memerintahkan penghantar surat tersebut membakar tingkat atas rumahnya itu. Apabila beliau sampai di sana, dia pun mengumpulkan kayu lalu membakar pintu ke bilik itu. Apabila amir tersebut diberitahu mengenai apa yang berlaku, beliau memerintahkan orang supaya membiarkan penghantar surat itu kerana dia merupakan orang utusan khalifah. Kemudian beliau pun mengambil surat yang dibawa oleh utusan itu. Belum sempat beliau menyimpan surat itu, beliau pun menunggang kudanya untuk menemui Umar r.a.

Apabila beliau sampai di hadapan Umar r.a., Umar pun memerintahkannya supaya menemaninya ke Harra di mana terdapat banyak unta yang disedekahkan di sana. Umar r.a. pun menyuruh lelaki itu mencampakkan pakaiannya. Kemudian Umar menyuruh lelaki itu memakai pakaian yang diperbuat daripada bulu unta dan menyuruhnya supaya melepaskan seekor selepas seekor dan memberikan minuman kepadanya. Amir itu melakukan apa yang disuruh oleh Umar r.a. sehingga beliau keletihan akibat turun dan naik atas unta tersebut. Selepas itu Umar pun bertanya kepadanya: “Bilakah kamu membina tingkat atas itu?” Beliau menjawab: “Baru lagi ya amirul mukminin.” Umar r.a. pun berkata: “Kamu telah membina tingkat atas tersebut untuk menyusahkan orang ramai yang berurusan dengan kamu. Kamu duduk di atas tempat yang tinggi daripada orang-orang miskin, yatim dan fakir. Kembalilah jalankan tugas kamu dan janganlah ulangi perbuatan kamu itu.”

(Sebagaimana dalam Kanzul Ummal. )

5.
(i)Dikeluarkan oleh Ibnu Al-Mubarak, Ibnu Rahawiah dan Musaddad daripada ‘Itab bin Rifa’ah katanya: “Telah sampai ke pengetahuan Umar r.a. bahawa Saad r.a. telah membina sebuah istana untuknya dan membina sebuah pintu gerbang di hadapan istana tersebut. Beliau juga berkata bahawa dia telah pun bebas daripada rungutan dan aduan orang ramai. Kemudian Umar r.a. pun mengutuskan Muhammad bin Maslamah r.a. Kebiasaannya Umar r.a akan melakukan sedemikian rupa jika beliau mahu sesuatu itu dilakukan mengikut kehendaknya. Beliau berkata kepada Muhammad: “Pergilah kamu kepada Saad dan bakarlah pintu gerbang itu.”

Muhammad pun tiba di KUFAH, apabila beliau sampai di pintu gerbang itu, beliau pun mula membakarnya. Seseorang telah datang kepada Saad untuk memberitahunya mengenai kejadian itu dan menjelaskan kepadanya akan sifat orang membakar pintu tersebut dan dengan demikian Sa’ad pun mengetahui siapakah orang tersebut bahawa beliau adalah Muhammad bin Maslamah lalu keluar menemuinya. Muhammad berkata kepada Sa’ad: “Amirul mukminin telah diberitahu bahawa engkau telah berkata bahawa engkau telah bebas daripada rungutan dan aduan orang ramai.” Sa’ad berkata: “Demi Allah! Aku tidak berkata sedemikian.” Muhammad berkata: “Aku hanya melakukan apa yang telah diperintah ke atasku untuk melakukannya dan menyampaikan kepada amirul mukminin apa yang telah engkau katakan.” Kemudian Muhammad meminta Sa’ad agar memenuhi bekalan untuk perjalanannya kembali ke MADINAH tetapi Sa’ad enggan untuk menunaikan permintaannya itu.

Muhammad pun kembali ke Madinah. Apabila Umar r.a. melihat kedatangan Muhammad, beliau pun berkata kepadanya: “Aku kira kamu belum lagi menyempurnakan tugasmu?” Muhammad berkata: “Aku telah melakukannya dan beliau memberikan alasan dan bersumpah dengan nama Allah bahawa dia tidak berkata sedemikian.” Umar r.a. pun bertanya: “Adakah beliau telah memberikan hadiah kepadamu?” Muhammad menjawab: “Negeri IRAQ adalah miskin dan penduduk kota di sekelilingku mati kelaparan. Oleh yang demikian, aku agak keberatan untuk memaksanya atas yang sedemikian itu dan engkau akan memperoleh yang sejuk dan aku akan memperoleh yang panas (kamu akan menikmatinya sedangkan aku akan merasakan kepanasan api neraka). Tidakkah kamu mendengar Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Seorang mukmin itu tidak boleh memenuhkan perutnya sedangkan jiran-jirannya dalam kelaparan.”

Sebagaimana dalam Al-Kanz.

(ii)Dikeluarkan oleh At-Tabrani daripada Abu Bakrah dan Abu Hurairah r.anhuma dengan ringkas melainkan dalam hadisnya dinyatakan bahawa telah sampai ke pengetahuan Umar r.a. bahawa Sa’ad telah menjauhkan dirinya daripada orang ramai dan mengunci pintu rumahnya. Lalu Umar r.a. mengutuskan Ammar bin Yasir r.a. pergi ke sana dan membakar pintu gerbang yang dibina oleh Sa’ad tersebut.

6. Dikeluarkan oleh;

(i) Ibnu Asakir dan As-Syaikiri daripada Juwairiyah r.anha.
(ii) Beberapa perawi telah berkata daripada Nafi’.
(iii) Sesetengah mereka daripada seorang lelaki daripada anak-anak Abu Darda’ r.a.

KATANYA: Abu Darda’ telah meminta keizinan daripada Umar r.a. untuk pergi ke SYAM. Umar r.a berkata: “Aku tidak akan mengizinkan kamu pergi ke Syam melainkan bertugas untukku sebagai gabenor.” Abu Darda’ berkata: “Aku tidak mahu menjadi gabenor.” Umar r.a. menjawab: “Oleh itu aku tidak akan mengizinkan kamu pergi ke Syam.” Kata Abu Darda’ r.a: “ Aku akan pergi tetapi dengan syarat aku hanya akan mengajar sunnah nabi s.a.w. kepada mereka dan bersolat bersama mereka.” Maka Umar r.a. pun mengizinkan Abu Darda’ pergi.

Pada suatu ketika Umar r.a. telah pergi ke SYAM. Apabila berada di luar Syam, beliau pun singgah di suatu tempat sehingga waktu petang menjelang. Apabila tiba waktu malam Umar r.a. berkata: “ Ya Yarfa’! Bawalah aku berjumpa dengan Yazid bin Abu Sufyan. Kamu akan melihat beliau duduk di atas hamparan yang mahal dan sutera yang diperolehi dari harta rampasan kaum muslimin. Apabila kamu memberi salam kepadanya, beliau akan menjawab salammu itu tetapi tidak akan membenarkan kamu masuk menemuinya kecuali dia mengetahui siapakah diri kamu.” Maka mereka pun bergerak sehingga sampai di hadapan pintuny
a dan berkata: “Assalamu’alaikum!” Yazid menjawab: “Alaikumussalam.” Yarfa’ bertanya: “Boleh aku masuk?” “Siapakah kamu?” Yarfa’ menjawab: “Aku adalah teman seseorang yang apabila kamu mengetahuinya, pasti kamu tidak akan menyenangi kedatangannya itu. Bersamaku adalah amirul mukminin.” Lalu Yazid pun membuka pintu. Kelihatan lampu-lampu, hamparan yang indah dan beliau duduk di atas hamparan itu yang bersalut emas dan sutera. Umar r.a. pun berkata: “Ya Yarfa’, kamu tunggu di pintu ini.” Umar r.a masuk dan terus memukul Yazid dengan cambuknya di dahi Yazid kemudian beliau menggulung semua barang-barang yang terdapat di dalam rumah itu dan meletakkannyadi tengah-tengah rumah dan berkata kepada mereka yang hadir di sana: “Janganlah kamu meninggalkan tempat ini sehingga aku kembali kepada kamu.”

Maka kami pin meninggalkan Yazid. Umar r.a. berkata kepadaku: “ Ya Yarfa’! Ikutilah aku untuk menemui Amru bin Al-‘As. Kamu akan melihat beliau duduk di atas hamparan yang mahal dan sutera yang diperolehi dari harta rampasan kaum muslimin. Apabila kamu memberi salam kepadanya, beliau akan menjawab salammu itu tetapi tidak akan membenarkan kamu masuk menemuinya kecuali dia mengetahui siapakah diri kamu.” Maka kami pun berjalan menuju kepadanya dan aku mendapati beliau sebagaimana yang telah diberitahu oleh amirul mukminin. Umar r.a pun memukul Amru di dahinya. Kemudian beliau menggulung semua barang-barang yang terdapat di dalam rumah itu dan meletakkannyadi tengah-tengah rumah dan berkata kepada mereka yang hadir di sana: “Janganlah kamu meninggalkan tempat ini sehingga aku kembali kepada kamu.”

“ Ya Yarfa’! Ikutilah aku untuk menemui Abu Musa r.a. Kamu akan melihat beliau duduk di atas hamparan yang mahal dan sutera yang diperolehi dari harta rampasan kaum muslimin. Apabila kamu memberi salam kepadanya, beliau akan menjawab salammu itu tetapi tidak akan membenarkan kamu masuk menemuinya kecuali dia mengetahui siapakah diri kamu.”

Maka kami pun berjalan menuju kepadanya dan aku mendapati beliau sebagaimana yang telah diberitahu oleh amirul mukminin. Umar r.a pun memukul Abu Musadi dahinya dan berkata: “Kamu juga ya Abu Musa! Abu Musa pun berkata: “Ya amirul mukminin! Engkau telah melihat apa yang dilakukan oleh sahabat-sahabatku, mereka telah mengambil lebih daripada apa yang telah aku ambil. Aku telah mengikuti mereka melakukannya atas sebab yang tertentu.” Umar r.a pun bertanya: “ Apakah barang-barang dan kelengkapan ini?” Abu Musa menjawab: “Penduduk tempat ini mendakwa bahawa seseorang amir (pemimpin) itu tidak akan jadi kelihatan baik melainkan sekiranya beliau tidak mempunyai barang-barang ini.”

Kemudian Umar r.a. pun mengumpulkan barang-barang tersebut dan meletakkannyadi tengah-tengah rumah dan berkata kepada mereka yang hadir di dalam majlis Abu Musa tersebut: “Tidak seorang pun dibenarkan keluar dari tempat ini sehingga aku kembali menemui kamu semula.”

Apabila kami keluar dari sisi Abu Musa, Umar r.a. pun berkata kepadaku: “Ya Yarfa’ Ikutilah aku untuk menemui saudaraku untukku melihatnya, beliau tidak mempunyai hamparan, lampu-lampu yang indah, tidak mempunyai pengiring dan pintu rumahnya tidak berkunci dari dalam. Beliau berbaring di atas pasir dengan berbantalkan kain yang disumbat dengan daun-daun kayu. Beliau hanya menyelimutkan badannya dengan sehelai kain yang nipis untuk melindungi dirinya dari kesejukan. Kamu memberi salam kepadanya dan dia akan menjawab salammu. Kamu meminta izin untuk menemuinya dan beliau akan mengizinkan kamu sebelum beliau mengetahui siapakah diri kamu.” Maka kami pun berjalan menuju ke rumah saudaranya yang dikatakan olehnya itu.

Apabila kami sampai di hadapan pintunya, kami pun memberi salam lalu beliau menjawab salam kami. Umar pun berkata: “Bolehkah aku masuk?” Beliau menjawab: “Masuklah.” Umar pun menolak daun pintu yang tidak mempunyai selak tersebut dan tidak berkunci. Maka kami pun masuk ke dalam rumahnya yang gelap tidak berlampu. Umar r.a. pun meraba-raba mencarinya di dalam kegelapan tersebut sehingga menemui dan beliau ditemui sedang berbaring dengan kepalanya di atas bantal yang diisikan dengan daun-daun kayu. Umar r.a. meraba akan hamparannya tetapi ianya cuma berlantaikan pasir. Umar r.a meraba bajunya yang cuma dari kain yang nipis. (Saudaranya itu adalah Abu Darda’ r.a.) Maka Abu Darda’ pun berkata: “Siapa ini? Adakah amirul mukminin?” Umar r.a. menjawab: “Ya.” Beliau berkata: “Demi Allah! Sudah setahun lamanya kita tidak bertemu.” Umar r.a. pun berkata: “Allah merahmati kamu, adakah aku tidak memberikan belanja yang mencukupi untuk kamu?” Abu Darda’ r.a. berkata: “ Adakah kamu masih ingat akan satu hadis yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. ya Umar?” Umar r.a. bertanya: “Hadis yang mana satu?” Abu Darda’ pun berkata: “Hendaklah apa yang kamu miliki dalam kehidupan dunia ini seumpama bekalan yang dibawa oleh seorang pengembara yang menunggang kuda.” Kata Umar r.a.: “Aku masih mengingatinya.” Abu Darda’ r.a. pun bertanya: “Oleh yang demikian, apakah yang kita telah lakukan selepasnya ya Umar?” Yarfa’ berkata: “Maka kedua-duanya pun berterusan menangis hingga ke waktu subuh.”

Sebagaimana dalam Kanzul Ummal.

SUMBER:
As-Sheikh Muhammad Yusof Al-Kandahlawi. 1994. Hayatus Sahabah – Kehidupan Para Sahabat Rasulullah S.A.W. jilid 4. Kuala Lumpur : Darul Nu’man.

“Sesiapa yang menjadikan akhirat sebagai kerisauannya maka Allah SWT akan memperkayakan hatinya dan harta benda dunia akan datang kepadanya dalam keadaan tunduk dan hina dan sesiapa yang menjadikan dunia sebagai kerisauannya Allah SWT akan menjadikan kemiskinan terbayang-bayang di hadapannya dan dia akan diselubungi kesusahan. Dia tidak akan mendapat di dunia lebih daripada apa-apa yang telah ditakdirkan”.dipetik dari kitab at-Targhib, hadis riwayat Ibnu Majah dan Tirmizi.

%d bloggers like this: